bestmnth-title

Jayakan Penyusuan Susu Ibu di Tempat Kerja!

Ke arah produktiviti kerja yang lebih tinggi dalam kalangan ibu-ibu berkerjaya

Kempen penyusuan susu ibu baru-baru ini mendedahkan apa yang perlu dilakukan oleh para majikan untuk membantu ibu-ibu berkerjaya menjadi lebih produktif di tempat kerja.

“Selepas cuti bersalin tamat, saya mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan untuk terus menyusukan bayi saya,” kata Agnes Fernandes yang berumur 36 tahun. “Sebenarnya, saya ingin terus menyusukannya walaupun selepas kembali bekerja.”

Namun, Agnes yang bekerja dalam bidang penerbitan tidak berjaya melakukannya.

“Penyelia saya sangat menyokong hasrat saya tetapi tiada tempat yang sesuai untuk memerah susu ibu,” katanya. “Yang ada cuma tandas dan bilik stor. Oleh kerana  tempat kerja saya mempunyai pelan tempat duduk yang terbuka, saya tidak boleh meminjam bilik pejabat sesiapa pun.”

Seperti Agnes, ramai ibu-ibu berkerjaya yang menghadapi pelbagai cabaran untuk meneruskan penyusuan susu ibu selepas kembali bekerja. Baru-baru ini, bersempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada Ogos lalu, MyNutriBaby (MNB), sebuah program pendidikan komuniti oleh Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), telah melancarkan sebuah kempen untuk meninjau apakah cabaran-cabaran penyusuan susu ibu yang dihadapi oleh ibu-ibu berkerjaya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan supaya bayi diberi penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan, dan  penyusuan susu ibu hendaklah diteruskan sehingga usia dua tahun. Namun, tinjauan tersebut mendapati bahawa 54.9% ibu-ibu berhenti menyusukan bayi kurang daripada enam bulan selepas kembali bekerja. “Kira-kira 24% responden menyatakan kemudahan dan persekitaran tempat kerja yang tidak sesuai sebagai sebab utama mereka menghentikan penyusuan susu ibu,” kata Dr Tan Sue Yee, seorang pakar pemakanan di Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).

“Masalah seperti bekalan susu ibu yang berkurangan, ibu tidak dapat membiasakan diri dan bayi tidak mahu menyusu semuanya boleh dikaitkan dengan persekitaran tempat kerja yang tidak sesuai. Ia semua saling berkait,” tambahnya.

“Apabila ibu-ibu tidak dapat memerah susu dengan kerap di tempat kerja, penghasilan susu ibu akan berkurangan. Tekanan dengan beban kerja juga akan memberi kesan negatif pada bekalan susu. Apabila kurang susu, bayi mungkin akan tidak puas. Bayi juga mungkin merajuk kerana berenggang dengan ibunya untuk tempoh yang lama,” jelas Fatimah Salim, juga seorang pakar pemakanan dan pakar laktasi dari NSM.

Namun, terdapat juga banyak syarikat-syarikat yang memenuhi keperluan ibu-ibu berkerjaya ini. Para responden dalam tinjauan ini menyenaraikan “tempat yang bersih dan terlindung” untuk memerah susu ibu, peti sejuk, sumber air yang “bersih dan selamat”, waktu bekerja yang fleksibel dan rehat yang kerap, serta sokongan dan sifat timbang rasa majikan dan rakan-rakan sekerja sebagai contoh-contoh manfaat yang mereka nikmati di tempat kerja.

Sarah Cheong, seorang wartawan, adalah seorang ibu yang berjaya meneruskan penyusuan susu ibu sehingga anaknya berusia tiga tahun.

“Saya sangat bernasib baik kerana majikan saya menyusukan anak-anaknya dan beliau rasa teruja apabila mengetahui saya melakukan perkara yang sama,” kata Sarah, 30.

Editor beliau menawarkan Sarah untuk menggunakan pejabatnya sebagai tempat terlindung untuk memerah susu ibu.

“Beliau juga mempunyai peti sejuk kecil yang boleh saya gunakan untuk menyimpan susu ibu,” tambah Sarah.

Dr Tan memuji syarikat-syarikat seperti Philips Avent dan Digi di antara syarikat yang menyediakan kemudahan yang baik untuk ibu-ibu berkerjaya yang ingin meneruskan penyusuan susu ibu.

Sebagai contoh, Philips ingin membantu ibu-ibu memberi anak-anak mereka permulaan yang terbaik untuk kehidupan.

“Kami membekalkan bakal-bakal ibu dengan sebuah pek ‘Kami menyokong anda’ sebelum mereka memulakan cuti bersalin, dan juga satu set hadiah Selamat Datang Bayi yang mengandungi produk-produk Philips AVENT, termasuklah sebuah pam payudara kepada ibu bapa baharu.”

“Kami mencipta ‘persekitaran rumah’ dengan suasana yang tenang dan peralatan yang praktikal,” kata Muhammad Ali Jaleel, pengurus negara (Malaysia) Kumpulan Philips, dan menambah bahawa syarikat tersebut berazam untuk membantu kakitangan mereka meneruskan penyusuan susu ibu ‘selama mana mereka mahu’.

Digi erupakan sebuah lagi syarikat yang berusaha untuk memberi sokongan terbaik kepada kakitangan mereka yang meneruskan penyusuan susu ibu.

“Kami percaya adalah penting untuk memberi semangat kepada ibu-ibu berkerjaya dengan membantu mereka mengimbangkan kerjaya dan peranan mereka sebagai ibu dengan menawarkan sokongan dan kemudahan yang bersesuaian di tempat kami bekerja,” kata Orsolya Sekerka, ketua pegawai maklumat Digi.

“Pada Januari 2016, kami juga akan melaksanakan polisi cuti bersalin berbayar selama 6 bulan untuk memastikan Digi bukan sekadar terus menjadi tempat yang menarik untuk bekerja, tetapi juga tempat di mana wanita boleh membina kerjaya dan terus mengisi barisan kepimpinan kami di samping menyokong keluarga mereka,” tambah beliau.

Dr Tan menekankan, “Dalam pendidikan pemakanan kami menyatakan bahawa untuk mengekalkan sikap seseorang, tidak mencukupi sekadar memberi sokongan emosi melalui motivasi, tetapi persekitaran yang sesuai juga perlu disediakan untuknya.”

Diharapkan para majikan akan memperoleh inspirasi daripada tinjauan ini dan menyediakan persekitaran serta kemudahan yang diperlukan oleh ibu-ibu berkerjaya untuk meneruskan penyusuan susu ibu kerana usaha tersebut bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan kesetiaan pekerja, tetapi juga dapat mengurangkan ketidakhadiran dan kakitangan yang berhenti bekerja. Lebih penting lagi, para majikan dapat memainkan peranan dalam mengekalkan dan meningkatkan kesihatan ibu-ibu dan bayi-bayi mereka.

Jika terdapat majikan yang memerlukan nasihat tentang menyediakan tempat kerja yang menyokong penyusuan susu ibu, mereka boleh hubungi MNB. Layarilah www.mynutribaby.org.my atau emel matters@mynutribaby.org.my untuk maklumat lanjut.