Skip to Content

Category Archives: Tahap 4 Makanan Keluarga Pertama

Mitos Lazim tentang Makanan Keluarga bagi Kanak-Kanak Petatih

Anda mungkin biasa dengar beberapa mitos tentang makan secara sihat bagi si kecil anda.  Membezakan fakta daripada mitos dapat membantu anda memberi si kecil anda nutrien-nutrien yang diperlukan untuk berkembang secara normal dan sihat.

Penyusuan susu ibu tidak diperlukan lagi untuk kanak-kanak petatih.

  • Tidak benar.
  • Tidak diketahui sehingga bilakah susu ibu menjadi tidak penting dari segi nilai pemakanan. Penyusuan susu ibu terus menjadi sumber penawar dan pelindung, menjadi asas bagi masa depan yang penuh keyakinan, gembira dan sihat.  Ibu-ibu adalah dinasihati untuk terus menyusukan bayi sehingga berumur 2 tahun.

 

Jika si kecil anda menolak sesuatu makanan, jangan cuba lagi.

  • Tidak benar.
  • Memberi kanak-kanak makanan yang mereka tidak gemar pada mulanya boleh menjadi sangat mengecewakan. Kajian menunjukkan bahawa terdapat kanak-kanak yang perlu mencuba sesuatu makanan baharu sebanyak 10 kali atau lebih sebelum mereka menerimanya.  Maka, sebelum anda membuang sesuatu ramuan penting, cuba gunakannya dalam resepi lain.  Adakalanya, lebih baik jika ia dihidangkan bersama sesuatu yang anak anda sudah biasa bagi menjadikan makanan tersebut lebih “mesra” dan boleh diterima.

 

Si kecil anda mesti menghabiskan semua makanan di dalam pinggannya, jika tidak dia akan lapar.

  • Tidak benar.
  • Kanak-kanak yang dipaksa untuk menghabiskan makanan di dalam pinggan mereka tidak menghiraukan keupayaan semula jadi mereka yang memantau jumlah makanan yang mereka perlukan untuk membesar pada kadar yang sihat. Jangan bimbang sekiranya anak anda lapar.  Bayi dan kanak-kanak petatih boleh mengawal sendiri keperluan dan pengambilan tenaga mereka.  Hidangkan saiz sajian yang kecil untuk anak anda dan biarkan mereka minta tambah jika mereka masih lapar.

 

Kanak-kanak petatih harus diberi diet rendah lemak..

  • Tidak benar
  • Lemak merupakan nutrien penting dalam diet kanak-kanak kerana ia membekalkan asid lemak perlu, berfungsi sebagai sumber tenaga yang padat untuk pertumbuhan dan perkembangan pesat, bertindak sebagai kenderaan untuk menyerap dan mengangkut vitamin larut lemak (A, D, E dan K), dan terlibat dalam banyak proses metabolik di dalam tubuh.  Oleh yang demikian, memberi kanak-kanak petatih diet yang rendah kandungan lemak tidak disarankan kerana ia boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan mereka dengan teruk.  Namun, ini tidak bermakna kanak-kanak harus diberi  lemak secara berlebihan kerana ia boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi obes.  Diet yang seimbang, yang mengandungi jumlah dan jenis lemak yang bersesuaian adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak kecil.

 

Tidak salah memberi ganjaran gula-gula kepada anak saya jika dia makan sayur.

  • Tidak benar.
  • Gula-gula harus diberi sekali sekala sahaja, bukan sebagai “penyelesaian” tetap untuk “menggalakkan” kanak-kanak yang cerewet makan untuk mengambil sayur. Apabila ibu bapa memberi ganjaran pencuci mulut kepada anak mereka, perkaitan makanan sihat dengan makanan”tidak sihat” menjadi kuat.  Walau bagaimanapun, tidak memberi langsung kanak-kanak gula-gula akan menggalakkan mereka untuk makan lebih banyak hidangan bergula di luar rumah.  Sebaliknya, berikan alternatif lebih sihat seperti buah atau pemanis asli seperti madu.

 

Apa yang anak saya makan sekarang tidak menjejaskan mereka kemudian hari.

  • Tidak benar.
  • Tempoh dari sejak lahir sehingga dua tahun merupakan waktu kritikal bagi menggalakkan pertumbuhan optimum, dan perkembangan kesihatan serta tingkah laku. Kanak-kanak yang belajar membuat pilihan diet yang tidak sihat lebih berisiko berlebihan berat badan atau obes.  Tabiat tersebut dipelajari lebih awal dari yang disangkakan oleh ibu bapa.  Jangan guna makanan, terutamanya makanan yang tinggi kandungan lemak, gula dan garam atau makanan yang rendah nilai kandungan pemakanan, sebagai alat penenang.  Bina tabiat yang baik dengan mencari penyebab sebenar mengapa anak anda sedih dan mengatasi masalah dengan wajar.  Makanan sepatutnya digunakan hanya untuk melegakan kelaparan.

 

Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada

  1. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
  2. NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice.

 

0 0 Continue Reading →

Memilih Makanan yang Lebih Berkhasiat di Pasaran

Mempelajari bagaimana untuk membaca label makanan boleh membantu anda memilih produk makanan yang lebih sihat di pasaran untuk si kecil anda dan ahli keluarga yang lain.

4.3

Memahami label makanan

Memahami label makanan boleh membantu anda memilih makanan yang betul untuk si kecil anda.

  • Baca akuan pemakanan di hadapan bungkusan.

 

Akuan pemakanan yang perlu diperhatikan
“Sumber Nutrien X”, “Tinggi dalam Nutrien X”
Contoh: Sumber vitamin C; tinggi dalam kalsium
Ini bermaksud produk mengandungi jumlah Nutrien X yang memenuhi paras yang disyaratkan  oleh peraturan makanan.
“Rendah dalam Y”, “bebas Y”

Contoh: rendah dalam lemak; bebas kolesterol

Ini bermaksud produk adalah rendah dalam atau bebas daripada sesetengan nutrien, memenuhi paras yang digariskan di bawah peraturan makanan.
  • Lihat pada Panel Maklumat Pemakanan atau NIP (Nutrition Information Panel) (lazimnya terdapat di belakang bungkusan).
  • Panel Maklumat Pemakanan

 

  • Lihat pada jumlah tenaga dan nurien lain di dalam makanan. Fikirkan bagaimana nutrien tersebut menyumbang kepada jumlah pengambilan harian dan keperluan pemakanan si kecil anda.
  • Buat pilihan makanan berdasarkan keseluruhan kandungan nutrien, bukan berdasarkan kepada satu atau dua nutrien sahaja.

 

Baca Senarai Ramuan

  • Ramuan yang paling tinggi kandungannya disenaraikan dahulu.
  • Jika si kecil anda mempunyai alahan, baca dengan hati-hati untuk memastikan tidak terdapat ramuan yang boleh mencetus reaksi alahan.
  • Terdapat gula, lemak, minyak dan garam dalam bentuk lain pada label makanan.

 

NutrienBentuk lain
GulaGula perang, gula tebu, susu pekat, sirap jagung, fruktosa, glukosa, madu, maltodekstrin, maltosa, gula kabung, sakarosa, sukrosa, sirap, xilosa, gula pasir
Lemak dan minyakMentega, krim, mentega koko, santan, ghee, lemak babi, majerin, mayonis, pepejal susu, lelemak
GaramGaram batu, garam laut, natrium, kicap

 

Bagaimana memilih produk yang lebih sihat

  • Bandingkan Panel Maklumat Pemakanan (NIP) beberapa jenama sesuatu produk makanan dan pilih produk yang mengandungi paling rendah lemak, gula dan garam, dan paling tinggi serat.  Cari jenama yang paling dapat memenuhi keperluan pemakanan si kecil anda.  Bandingkan jenama yang berlainan berdasarkan 100ml/100mg produk.
  • Lihat akuan pemakanan setiap produk.  Walaupun maklumat tersebut mungkin berguna untuk menggambarkan kandungan pemakanan, jangan membelinya hanya kerana ia mempunyai akuan “tinggi dalam” atau “bebas”.  Anda perlu lihat pada keseluruhan profil nutrien berdasarkan NIP.
  • Bagi setiap akuan seperti bebas atau rendah lemak, gula dan natrium, peraturan makanan telah menetapkan spesifikasinya.  Setiap produk hendaklah memenuhi spesifikasi tersebut untuk membuat akuan.

 

Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada

  1. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
  2. NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice.
0 0 Continue Reading →

Membentuk Tabiat Makan yang Baik dalam Kalangan Kanak-kanak

Galakkan si kecil anda untuk sama-sama pergi membeli barang runcit dan menyediakan hidangan yang mudah.  Kemudian biarkan si kecil makan bersama keluarga dan galakkan dia untuk makan sendiri.  Makan di meja bersama orang dewasa serta kanak-kanak lain akan mengajar anak anda  perlakuan di meja makan dan kemahiran sosial.

4.2

Menggalakkan si kecil anda makan secara sihat

Si kecil anda boleh mula makan makanan keluarga pada sekitar umur 12 bulan iaitu makanan yang dimakan oleh seluruh keluarga.  Untuk memastikan si kecil anda gemar rasa hidangan berkhasiat, tabiat makan secara sihat hendaklah digalakkan sejak dari kecil.

  • Galakkan si kecil anda untuk sama-sama terlibat dalam penyediaan makanan dengan membawanya membeli barang runcit.
  • Membiasakannya dengan waktu makan. Tunjukkan bagaimana makanan disediakan dan dimasak, dan biarkan dia bantu menyediakan tempat makan.  Dia boleh lakukan perkara mudah seperti meletakkan sudu di atas meja, sehinggalah kepada kerja yang lebih sukar apabila dia besar.
  • Perut si kecil anda kecil dan dia cepat lapar, maka sasarkan untuk memberi dia 4 hingga 5 hidangan utama dan 1 hingga 2 snek sehari.
  • Sambil memastikan si kecil anda mendapat makanan berkhasiat, fikirkan juga tentang makanan kegemarannya dan jumlah yang dia boleh makan. Ini mengurangkan stres dan menjadikan waktu makan lebih seronok.
  • Jadikan hidangan dan snek menyeronokkan dengan menghias makanan dengan cara yang menarik seperti hiasan smiley yang menarik minat si kecil anda.
  • Tunjukkan teladan yang baik dan makanlah secara sihat – si kecil anda akan mengikut jejak anda. Seberapa yang boleh, galakkan si kecil anda untuk makan bersama keluarga untuk membolehkan dia mempelajari perlakuan di meja makan dan tabiat makan yang baik.
  • Galakkan si kecil anda untuk makan sendiri. Ini membantu mengasah kemahiran motornya dan belajar untuk berdikari.
  • Hidangan seimbang yang disediakan di rumah adalah satu keutamaan. Sediakan hidangan tersebut menggunakan pelbagai  jenis makanan berpandukan Piramid Makanan Malaysia.  Ini akan memastikan si kecil anda mendapat kesemua nutrien yang diperlukan untuk membesar dan berkembang.  Ia juga membantu memperkenalkan kepadanya rasa dan tekstur yang berbeza serta meningkatkan keupayaan untuk menerima pelbagai jenis makanan berkhasiat.

 

Perkara yang patut dan tidak patut dilakukan pada waktu makan

Lakukan

  • Jadikan waktu makan masa yang gembira dan relaks.
  • Makan bersama sebagai satu keluarga untuk membolehkan si kecil anda mempelajari perlakuan baik di meja makan daripada orang dewasa yang ada bersama.
  • Galakkan si kecil anda untuk makan sendiri agar dia boleh berdikari.
  • Hidangkan pelbagai makanan kepada si kecil anda untuk perisa yang berbeza dan pengambilan nutrien seimbang.
  • Jika pada mulanya si kecil anda enggan makan beberapa kali, ulangi pemberian makanan yang sama pada waktu lain.

 

Jangan

  • Pasang TV, telefon dan tablet ketika waktu makan kerana ia akan mengalihkan perhatian mereka.
  • Paksa si kecil anda untuk menghabiskan semua makanan di dalam pinggannya. Sebaliknya, beri perhatian jika dia menunjukkan tanda-tanda lapar.
  • Hidangkan makanan yang keras, sukar dikunyah atau berketul.
  • Tambahkan garam atau sos masin ke dalam makanan si kecil anda.
  • Guna makanan seperti gula-gula sebagai ganjaran jika si kecil anda berkelakuan baik kerana memberi ganjaran tidak menggalakkan sikap yang sihat terhadap makanan dan makan.

 

Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada

  1. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
  2. NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice.

 

0 0 Continue Reading →

Memberi Si Kecil Anda Permulaan yang Sihat

Pada umur 1 tahun, si kecil anda harus mengambil makanan yang sama seperti yang dinikmati oleh seluruh keluarga.  Memulakan si kecil anda dengan diet yang berkhasiat membantu memastikan dia terus mengamalkan tabiat makan secara sihat.  Sementara itu, terus menyusukannya sehingga mencapai umur 2 tahun.

4.1

Menyediakan hidangan berkhasiat untuk si kecil

Kuncinya ialah kepelbagaian.

  • Pilih makanan dari setiap kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia untuk hidangan yang seimbang.
  • Sentiasa pilih makanan yang berbeza dalam setiap kumpulan makanan untuk memastikan kepelbagaian dan pengambilan pelbagai nutrien yang seimbang.

 

Hadkan makanan yang berminyak dan tinggi kandungan lemak

  • Daripada menggoreng, cuba cara memasak yang berbeza seperti memanggang dalam ketuhar, mengril, goreng menggunakan udara, mereneh dan mengukus.
  • Apabila menyediakan hidangan, gantikan lemak haiwan (lemak tepu) dengan minyak sayuran. Cuba minyak sayuran campuran yang tinggi kandungan PUFA (asid lemak politaktepu ) seperti minyak sawit yang dicampur dengan minyak soya.
  • Buang lemak yang kelihatan daripada daging dan kulit daripada isi ayam sebelum memasak.

 

Hadkan penggunaan daging proses

  • Produk daging seperti sosej, nuget dan hirisan daging masak sejuk tidak sepatutnya dimakan lebih daripada sekali seminggu.

 

Hadkan pengambilan garam

  • Galakkan si kecil anda untuk menyukai rasa asli makanan dengan tidak menambah terlalu banyak garam ke dalam hidangannya.
  • Kurangkan atau separuhkan penggunaan garam dan sos di dalam masakan.
  • Gantikan garam dengan herba dan rempah ratus untuk menambah pelbagai rasa pada makanan, serta membangkitkan rasa aslinya.

 

Kurangkan gula

  • Gantikan gula dengan rempah berperisa seperti buah pala, vanila atau kayu manis.

 

Galakkan snek berkhasiat

  • Seperti buah dan sayur.

 

Hidangkan snek dua jam sebelum waktu makan utama (lihat rujukan 3 untuk lebih banyak idea snek)

Sediakan hidangan yang lebih menarik

  • Guna acuan, serta pinggan mangkuk dan sudu garfu yang menarik untuk membuat hidangan lebih menyelerakan.
  • Atur makanan menjadi bentuk-bentuk menarik, seperti smiley face, untuk menjadikan hidangan dan snek lebih menyeronokkan.

 

Sediakan hidangan yang dimasak di rumah

  • Ia menggalakkan seluruh keluarga untuk lebih kerap makan bersama.
  • Jenis dan jumlah ramuan serta cara memasak yang digunakan dapat dikawal.
  • Beberapa kajian mencadangkan bahawa kanak-kanak yang mengambil makanan yang dimasak di rumah bersama keluarga, membesar dengan risiko yang rendah terhadap tabiat makan yang tidak sihat atau masalah berat badan.

 

Buat Turun yang Berguna

 

Saranan pengambilan makanan bagi kanak-kanak petatih

  • Oleh kerana perut kanak-kanak petatih kecil maka dia cepat lapar. Sasarkan untuk memberinya 4 hingga 5 hidangan utama dengan 1 hingga 2 snek setiap hari.
  • Keperluan tenaga bagi kanak-kanak petatih yang akif ialah 980kcal (bagi lelaki) dan 910 kcal (bagi perempuan)
  • Sumber tenaga harus datang daripada bijirin dan hasil bijirin serta ubi-ubian.
  • Kanak-kanak petatih boleh mula mengambil susu lembu. Berikan susu sebagai snek dan bukan sebagai hidangan utama.  Susu ibu masih menjadi pilihan kerana penyusuan susu ibu disarankan sehingga umur 2 tahun.
  • Apabila menyediakan hidangan, pilih satu jenis makanan daripada setiap kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia.
  • Saiz sajian kanak-kanak adalah sekitar satu per empat saiz sajian orang dewasa. Contohnya, satu sajian sayur untuk kanak-kanak petatih ialah 1 hingga 2 sudu makan.  Bagi daging, kanak-kanak petatih memerlukan satu sajian sebesar tapak tangan mereka.

 

Buat Turun yang Berguna

 

Kepentingan meneruskan penyusuan susu ibu sehingga umur 2 tahun

Menjelang umurnya setahun,  bayi anda seharusnya mengambil pelbagai jenis makanan pepejal.  Manakala sumber utama tenaga harus datang daripada makanan pepejal, susu ibu terus membekalkan bayi faedah pemakanan dan imunologi.  Penyusuan susu ibu juga bertindak sebagai sumber keselamatan dan keselesaan, meletakkan asas bagi masa depan yang berkeyakinan, gembira dan sihat.  Maka, adalah disaranankan agar anda menyusukan bayi anda sehingga umur dua tahun atau lebih.

 

Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada

  1. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
  2. NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice.

 

0 0 Continue Reading →

Ibu lebih mengetahui

0 0 Continue Reading →