Apabila bayi sakit, teruskan memberi makanan untuk memastikan dia mendapat nutrien secukupnya agar membantu dia pulih.  Berapa banyakkah harus anda berikan?  Apakah makanan yang perlu dielakkan?

3.5

Sembelit

Bayi yang menyusu susu ibu jarang sekali sembelit, walaupun mereka mungkin tidak membuang air besar selama beberapa hari atau sehingga minggu.  Namun, najis mereka masih lembut.

Ramai bayi yang mukanya menjadi merah dan meneran walaupun najis mereka normal.  Ini bukannya tanda sembelit kecuali jika najisnya keras, kering dan berderai, atau seperti pelet, dan sakit atau tidak selesa apabila membuang air besar.

Jika bayi anda yang menyusu susu ibu mengalami sembelit, kemungkinan dia tidak mendapat susu ibu secukupnya dan anda mungkin perlu menyusukannya dengan lebih kerap.

Mungkin juga makanan pepejal yang diambil tidak sesuai baginya.  Perkenalkan makanan pepejal yang sesuai bagi umur bayi anda.  Berhati-hati kerana penggunaan legum (pis, dal dan lain-lain) dan bijirin tinggi serat tidak sesuai untuk bayi kecil.

 

Apa yang perlu dilakukan

  • Menyusukan bayi anda dengan lebih kerap.
  • Jangan tingkatkan pengambilan serat bayi anda dengan memberi lebih banyak bijirin penuh, buah, sayur atau air kerana pendekatan ini mungkin TIDAK sesuai untuk bayi yang sembelit. Ikuti nasihat biasa dalam memperkenalkan makanan pepejal kepada bayi di bawah satu tahun.
  • Urutan lembut diperut atau mandi air suam boeh membantu merelakskan otot bayi anda agar dia oleh buang air besar secara normal.

 

Cirit birit & Muntah

Sekali sekala, kebanyakan bayi akan mengalami najis cair.   Najis bayi yang menyusu susu ibu adalah lebih cair daripada bayi yang menyusu susu formula.

Cirit birit adalah apabila bayi anda kerap membuang najis yang berair dan tidak berbentuk.  Jika ini berlaku, dapatkan nasihat doktor, terutama jika bayi membuang air besar 6 kali atau lebih dalam 24 jam yang lalu, atau sekiranya dia muntah tiga kali atau lebih dalam 24 jam yang lalu.

Apabila bayi anda mengalami cirit birit/muntah, keperluan airnya adalah tiga kali ganda lebih daripada biasa.

Apa yang perlu dilakukan

  • Penyusuan susu ibu yang kerap diperlukan untuk mencegah dehidrasi dan membekalkan nutrien yang diperlukan untuk pulih daripada jangkitan.
  • Cecair rehidrasi oral mungkin diperlukan untuk menggantikan elektrolit yang hilang semasa cirit birit atau muntah. Walau bagaimanapun, dapatkan nasihat doktor sebelum anda memberinya kepada bayi anda.
  • Walaupun selera makan bayi mungkin terjejas ketika sakit, teruskan pemberian makanan untuk memastikan dia mendapat nutrien yang mencukupi, dan untuk mempercepatkan pemulihan.
  • Jika bayi anda tidak muntah, teruskan pemberian makanan, tetapi kurangkan sukatannya. Galakkan bayi anda untuk mengambil makanan lembut, pelbagai, menyelerakan dan makanan kegemarannya yang tidak membuat perutnya kurang selesa.
  • Selepas pulih daripada sakit, beri bayi anda lebih makanan daripada biasa kerana dia perlukan pengambilan nutrien yang lebih banyak untuk menggantikan kehilangan ketika sakit.
  • Lebih banyak makanan diperlukan sehingga anak dapat mengembalikan kehilangan berat badan, dan membesar semula dengan baik.

 

Demam dan flu

Kebanyakan demam tidak memudaratkan dan disebabkan oleh jangkitan ringan.  Namun demikian, anda harus memaklumkan kepada doktor bayi anda mengenai sebarang demam yang melebihi 38 darjah Celsius.

Apabila bayi demam, keperluan airnya meningkat tiga kali ganda.

Apa yang perlu dilakukan

  • Penyusuan susu ibu yang kerap diperlukan untuk mencegah dehidrasi dan membekalkan nutrien yang mencukupi untuk pulih daripada jangkitan.
  • Walaupun bayi anda kurang berselera semasa sakit, teruskan pemberian makanan untuk memastikan dia mendapat nurien yang mencukupi, dan mempertingkatkan pemulihan.
  • Beri bayi anda makan jika dia berselera.
  • Selepas pulih daripada sakit, beri bayi anda makan lebih kerap dari biasa kerana dia perlukan lebih banyak nutrien untuk menggantikan kehilangan ketika sakit dan mengejar pertumbuhannya.
  • Lebih banyak makanan diperlukan sehingga anak dapat mengembalikan berat badan yang hilang dan membesar semula dengan baik.

 

Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada

  1. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
  2. NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice.