Lama kelamaan, beberapa mitos tentang makanan pepejal bayi mula timbul.  Apa yang patut anda percaya?

Memulakan makanan pepejal membantu bayi tidur lebih lama..

  • Mungkin tidak.
  • Tiada bukti yang menunjukkan bahawa makanan pepejal membantu bayi tidur lebih lama. Oleh itu, jangan beri makanan pepejal lebih awal daripada umur 6 bulan dengan harapan bayi anda akan tidur lebih lama.  Amalan ini tidak disarankan kerana memulakan makanan pepejal terlalu awal akan memberi kesan negatif terhadap sistem penghadaman dan menjejaskan penyerapan nutrien.  Saranannya ialah untuk memulakan makanan pepejal apabila bayi berumur 6 bulan.

 

Bayi yang terlalu besar bagi umurnya memerlukan makanan pepejal lebih awal daripada bayi-bayi lain.

  • Tidak betul.
  • Yang penting adalah apa yang sedang berlaku di dalam tubuh bayi. Bayi bersedia untuk menerima makanan pepejal apabila sistem penghadamannya cukup matang untuk menghadam makanan, iaitu sekitar umur bayi 6 bulan.  Namun, setiap bayi adalah berbeza, maka berbincanglah dahulu dengan doktor jika anda fikirkan bayi anda sudah bersedia untuk makan.

 

Bayi yang menyusu susu ibu memerlukan susu tambahan lain selepas umur 6 bulan

  • Tidak benar.
  • Susu ibu membekalkan kesemua nutrien yang terdapat di dalam susu lain kepada bayi, dan lebih daripada itu. Bayi-bayi hendaklah mula mengambil makanan pepejal selepas 6 bulan supaya mereka belajar cara untuk makan dan mula menambah semula bekalan zat besi dan nutrien lain yang tidak dapat dibekalkan oleh susu ibu.  Susu lembu atau formula bayi tidak diperlukan selagi ibu meneruskan penyusuan susu ibu.

 

Untuk menjaga keselamatan bayi, adalah baik untuk mengelakkan makanan yang berpotensi menyebabkan alahan.

  • Tidak benar.
  • Kajian baharu menyarankan agar makanan yang dianggap sangat alergenik seperti kacang tanah, kacang pokok, susu, telur, gandum, soya, ikan dan kerang-kerangan, diperkenalkan kepada bayi satu persatu, selepas bayi mencapai umur 6 bulan. Ia perlu dilakukan bagi semua jenis makanan yang disebutkan kecuali susu penuh krim/susu segar yang harus dielakkan sehingga bayi berumur satu tahun.  Melengahkan pengenalan makanan tersebut sebenarnya akan meningkatkan risiko alahan makanan.  Namun, lebih perhatian perlu diberi jika keluarga anda mempunyai sejarah alahan.  Sentiasa dapatkan nasihat doktor untuk memastikan anda boleh beri bayi anda makanan tersebut dengan selamat.

 

Bayi tidak gemar sesuatu makanan jika dia menolaknya apabila mula-mula diberi.

  • Tidak benar.
  • Kajian menunjukkan bahawa makanan baharu mungkin perlu diberi lebih daripada 10 kali sebelum bayi benar-benar memakannya. Sama ada bayi benar-benar tidak gemar sesuatu makanan hanya boleh ditentukan kemudian.  Pada peringkat awal makanan baharu diperkenalkan, bayi akan menunjukkan pelbagai aksi muka apabila dia cuba untuk memahami tekstur dan rasa makanan baharu itu.  Aksi-aksi muka ini, dan juga keengganan untuk membuka mulut, tidak semestinya menandakan bayi tidak suka sesuatu makanan.  Terus mencuba dan jangan putus asa.

 

Bayi hendaklah minum jus “bayi” yang diperbuat oleh syarikat makanan bayi

  • Tidak benar.
  • Jus bayi bukanlah istimewa atau ajaib. Pilihan yang lebih baik ialah untuk membeli jus 100% yang diperah segar, atau jus yang diperah sendiri.  Pastikan jus yang dibeli di kedai tidak mengandungi ramuan seperti gula tambahan dan aditif makanan.  Jangan beri bayi anda lebih daripada 100ml atau ½ cawan jus buah setiap hari.  Terlalu banyak jus akan menjejaskan selera makan bayi pada waktu makan, dan juga menyebabkan pengambilan kalori yang berlebihan, kerosakan gigi, cirit birit dan beberapa masalah penghadaman.

 

Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada

  1. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
  2. NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice.