Anda mungkin biasa dengar beberapa mitos tentang makan secara sihat bagi si kecil anda. Membezakan fakta daripada mitos dapat membantu anda memberi si kecil anda nutrien-nutrien yang diperlukan untuk berkembang secara normal dan sihat.
Penyusuan susu ibu tidak diperlukan lagi untuk kanak-kanak petatih.
- Tidak benar.
- Tidak diketahui sehingga bilakah susu ibu menjadi tidak penting dari segi nilai pemakanan. Penyusuan susu ibu terus menjadi sumber penawar dan pelindung, menjadi asas bagi masa depan yang penuh keyakinan, gembira dan sihat. Ibu-ibu adalah dinasihati untuk terus menyusukan bayi sehingga berumur 2 tahun.
Jika si kecil anda menolak sesuatu makanan, jangan cuba lagi.
- Tidak benar.
- Memberi kanak-kanak makanan yang mereka tidak gemar pada mulanya boleh menjadi sangat mengecewakan. Kajian menunjukkan bahawa terdapat kanak-kanak yang perlu mencuba sesuatu makanan baharu sebanyak 10 kali atau lebih sebelum mereka menerimanya. Maka, sebelum anda membuang sesuatu ramuan penting, cuba gunakannya dalam resepi lain. Adakalanya, lebih baik jika ia dihidangkan bersama sesuatu yang anak anda sudah biasa bagi menjadikan makanan tersebut lebih “mesra” dan boleh diterima.
Si kecil anda mesti menghabiskan semua makanan di dalam pinggannya, jika tidak dia akan lapar.
- Tidak benar.
- Kanak-kanak yang dipaksa untuk menghabiskan makanan di dalam pinggan mereka tidak menghiraukan keupayaan semula jadi mereka yang memantau jumlah makanan yang mereka perlukan untuk membesar pada kadar yang sihat. Jangan bimbang sekiranya anak anda lapar. Bayi dan kanak-kanak petatih boleh mengawal sendiri keperluan dan pengambilan tenaga mereka. Hidangkan saiz sajian yang kecil untuk anak anda dan biarkan mereka minta tambah jika mereka masih lapar.
Kanak-kanak petatih harus diberi diet rendah lemak..
- Tidak benar
- Lemak merupakan nutrien penting dalam diet kanak-kanak kerana ia membekalkan asid lemak perlu, berfungsi sebagai sumber tenaga yang padat untuk pertumbuhan dan perkembangan pesat, bertindak sebagai kenderaan untuk menyerap dan mengangkut vitamin larut lemak (A, D, E dan K), dan terlibat dalam banyak proses metabolik di dalam tubuh. Oleh yang demikian, memberi kanak-kanak petatih diet yang rendah kandungan lemak tidak disarankan kerana ia boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan mereka dengan teruk. Namun, ini tidak bermakna kanak-kanak harus diberi lemak secara berlebihan kerana ia boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi obes. Diet yang seimbang, yang mengandungi jumlah dan jenis lemak yang bersesuaian adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak kecil.
Tidak salah memberi ganjaran gula-gula kepada anak saya jika dia makan sayur.
- Tidak benar.
- Gula-gula harus diberi sekali sekala sahaja, bukan sebagai “penyelesaian” tetap untuk “menggalakkan” kanak-kanak yang cerewet makan untuk mengambil sayur. Apabila ibu bapa memberi ganjaran pencuci mulut kepada anak mereka, perkaitan makanan sihat dengan makanan”tidak sihat” menjadi kuat. Walau bagaimanapun, tidak memberi langsung kanak-kanak gula-gula akan menggalakkan mereka untuk makan lebih banyak hidangan bergula di luar rumah. Sebaliknya, berikan alternatif lebih sihat seperti buah atau pemanis asli seperti madu.
Apa yang anak saya makan sekarang tidak menjejaskan mereka kemudian hari.
- Tidak benar.
- Tempoh dari sejak lahir sehingga dua tahun merupakan waktu kritikal bagi menggalakkan pertumbuhan optimum, dan perkembangan kesihatan serta tingkah laku. Kanak-kanak yang belajar membuat pilihan diet yang tidak sihat lebih berisiko berlebihan berat badan atau obes. Tabiat tersebut dipelajari lebih awal dari yang disangkakan oleh ibu bapa. Jangan guna makanan, terutamanya makanan yang tinggi kandungan lemak, gula dan garam atau makanan yang rendah nilai kandungan pemakanan, sebagai alat penenang. Bina tabiat yang baik dengan mencari penyebab sebenar mengapa anak anda sedih dan mengatasi masalah dengan wajar. Makanan sepatutnya digunakan hanya untuk melegakan kelaparan.
Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada
- MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
- NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice.